Salah satu PERBUATAN yang dibenci oleh Allah s.w.t adalah sikap suka menghasut (mengadu domba), memecah-belahkan ukuwah Islamiyah dan silaturahim.
Nabi s.a.w berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w. maksudnya : "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu Syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas bahwa ia berkata, Nabi melewati dua buah kubur. Baginda bersabda maksudnya : "Kedua penghuninya sedang disiksa bukan karena dosa besar. Yang satu karena ia suka mengadu domba, dan yang lainnya kerana tidak mau membersihkan air seni sehabis buang air kecil."
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari).
Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa penghasut (mengadu domba) dan sikap suka memecah-belahkan persaudaraan Islam dan ukuwah Islamiyah dan memutuskan silaturahim adalah perbuatan tercela dan akan mendapat azab Allah s.w.t di alam kubur dan di hari akhirat nanti.
Jika dikaji mereka yang suka menjadi penghasut (mengadu domba) dan memecah-belahkan persaudaraan Islam adalah kerana disebabkan tiga faktor.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Perasan iri hati dan hasat dengki melihat kejayaan dan kebahagiaan orang .
Orang yang iri hati tidak boleh menikmati kehidupan yang normal kerana hatinya tidak pernah boleh tenang sebelum melihat orang lain mengalami kesulitan. Dia melakukan berbagai hal untuk memuaskan rasa iri hatinya. Bila ia gagal, ia akan jatuh kepada kecewa. Sayyidina Ali k.w. berkata, “Tidak ada orang zalim yang menzalimi orang lain sambil sekaligus menzalimi dirinya sendiri, selain orang yang dengki.” Selain menyakiti orang lain, orang yang dengki juga akan menyakiti dirinya sendiri. Perasaan ini lahir kerana hati yang tidak bersyukur di atas nikmat dan rezeki yang Allah s.w.t kurniakan keatas dirinya.
Allah berfirman bermaksud: “ Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurlah atas nikmat- Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat Ku. ”
(Surah al-Baqarah, ayat 152)
Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih.”
(Surah Ibrahim, ayat 7).
Kedua : Sentiasa mengikut hawa nafsu dan mendengar bisikan syaitan. Nafsu manusia suka kepada jalan kejahatan dan tidak suka kepada kebaikan. Suka menjatuhkan orang lain dan benci kepada keharmonian hidup sesama saudara Muslim.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan (mengikut hawa nafsu) dan jalan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya." (Surah As-Syams ayat 7-10) Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka Syurgalah tempat kediamannya." (Surah An-Nazi'at ayat 40-41)
Ketiga : Hati dan jiwa penghasut dan suka memutuskan silaturahim adalah berpenyakit.
Orang yang mengidap penyakit hati tidak akan boleh mencintai orang lain dengan benar. Dia tidak mampu mencintai keluarganya dengan ikhlas. Orang seperti itu agak sukar untuk mencintai Nabi s.a.w. apalagi mencintai Allah s.w.t.. Kerana ia tidak boleh mencintai dengan tulus, dia juga tidak akan mendapat kecintaan yang tulus dari orang lain. Sekiranya ada yang mencintainya dengan tulus, ia akan curiga akan kecintaan itu.
Sahabat yang dimuliakan, Mereka yang suka kepada perbuatan menghasut (mengadu domba), memfitnah dan memecah-belahkan persaudaraan Islam adalah mereka yang akan mendapat kutukan Allah s.w.t di dunia ini. Di hari akhirat Allah s.w.t akan menyediakan azab yang pedih.
Terdapat 6 jenis golongan yang termasuk dikalangan penghasut dan memutuskan silatuirahim :
1. Ibu bapa yang mencampuri urusan perkahwinan anak-anaknya. Ibu bapa yang membenci menatu dan menyuruh anaknya memutuskan ikatan perkahwinan (bercerai). Sanggup menghasut dan memfitnah menantunya . Jika menantunya melakukan sesuatu perkara yang tidak syarak sepatutnya sebagai orang tua memberi nasihat dahulu sekiranya perkara tersebut tidak berhasil barulah jalan terakhir mengusulkan perceraian. Setengah kes orang tua yang fasik ini sanggup mengunakan khidmat bomoh untuk mengenakan sihir keatas menantunya. Golongan ini adalah melakukan d dosa besar dan akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t.
2. Rakan sepejabat yang menghasut pegawai atasan untuk memfitnah dan menimbulkan kebencian supaya rakannya tidak mendapat kenaikan pangkat atau gaji. Golongan ini sentiasa memiliki perasaan hasad dengki ini tidak merasai takut dengan azab Allah.
3. Dalam hidup berpoligami sering kita dengan isteri pertama membenci isteri kedua dan membuka rahsia suaminya dan membuat tuduhan kepada madunya dengan harapan untuk mendapat simpati daripada orang lain. Golongan ini jika tidak bertaubat dan menempah dirinya dengan azab Allah s.w.t kerana ramai wanita memasuki Neraka adalah kerana menyakiti hati suami dan suka mengadu domba.
4. Pemimpin politik sering menyerang peribadi pemimpin lain (berbeza fahaman politik) dan menghasut rakyat supaya membenci musuh politiknya dengan tujuan untuk mendapat pengaruh dan sokongan murahan. Jika yang diceritakan itu tidak benar maka ianya menjadi fitnah dan akan berlakulah pergeseran dan pergaduhan sesama Muslim. Golongan ini di hari akhirat nanti amat mudah menjadi muflis kerana dosa 'kering' yang dilakukan di dunia.
5. Permusuhan dan pulau memulau sesama jiran tetangga atau sekampung kerana berbeza pendapat.Perbezaan ini perlu di atasi supaya dapat mengwujudkan ikatan persaudaraan Islam . Kerana semua orang Muslim adalah bersaudara. Golongan ini jika dibiarkan akan menjadi barah kepada penyatuan umat Islam dan akan mengakibatkan Islam akan hilang kekuatannya.
6. Perselisihan sesama adik- beradik kerana pembahagiaan harta pusaka peninggalan orang tua. Tidak mahu bertolak ansur hingga mengakibatkan terputus dan terungkai ikatan silaturahim dan kasih sayang di antara ahli keluarga. Golongan ke 6 ini amat sesuai dengan hadis Nabi s.a.w. yang menyatakan bahawa tidak akan masuk Syurga sesiapa yang memutuskan ikatan silaturahim.
Sahabat yang dikasihi, Marilah sama-sama kita menjaga akhlak dan peribadi kita untuk sentiasa menghiasi hidup kita dengan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah. Sifat suka penghasut, memecah belahkan perpaduan umat Islam, mengumpat, memfitnah dan memutuskan silaturahim adalah sifat-sifat mazmumah. Sifat ini amat dibenci oleh Allah s.w.t. dan Nabi s.a.w sendiri memberi amaran keras kepada sesiapa yang hidupnya menyusahkan orang lain dan menimbulkan perpecahan sesama Muslim. Tidak ada tempat yang layak untuk mereka ini melainkan azab Neraka Jahanam.
0 komentar:
Post a Comment